Dalam era globalisasi ini , gejala mat rempit semakin hangat diperkatakan dalam masyarakat.Gejala ini semakin mendapat tempat dan diminati oleh golongan remaja walaupun mereka mengetahui bahawa gejala tidak bermoral ini akan mengundang padah kepada diri mereka sendiri. Hal ini dapat kita lihat melalui laporan media massa mengenai gejala yang tidak sihat ini. Kegiatan ini bukan sahaja membawa padah kepada individu malah menjejaskan ketenteraman masyarakat dan merosakkan imej negara di mata dunia. Oleh itu, faktor-faktor yang mendorong remaja terjebak dalam aktiviti ini seharusnya dicari sehingga ke akar umbi agar jalan penyelesaian yang berkesan dan efektif dapat dilaksanakan untuk membendung masalah ini.
Antara faktor yang menyebabkan aktiviti‘Mat Rempit’ ini semakin diminati adalah kekurangan kawalan dan kasih sayang daripada ibu bapa.Hal ini demikian kerana kebanyakan remaja yang kurang pengawasan daripada ibu bapa mudah terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat. Kesibukan ibu bapa mengejar kemewahan dunia menyebabkan anak-anak mereka terbiar tanpa hala tuju. Akhirnya, para remaja mencari ketenangan dan hiburan dengan melakukan aktiviti perlumbaan haram dan menjadi ‘Mat Rempit’ sebagai (jalan keluar) daripada kesunyian yang menyelubungi jiwa remaja ketika keseorangan di rumah. Selain itu, ibu bapa yang tidak mempunyai masa dan ruang untuk mendidik anak sama ada didikan agama ataupun pembentukan peribadi yang mulia menyebabkan anak-anak tidak mempunyai iman dan pendirian yang tegas dan mudah terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat seperti merempit kerana mudah terpengaruh dan tidak mampu menepis godaan.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan golongan muda(remaja) menyertai aktiviti haram ini. Hal ini disebabkan,golongan remaja akan menghabiskan hampir separuh hari bersama-sama rakan sebaya di sekolah. Ajakan dan pujukan rakan tidak mampu ditolak. Apabila menyaksikan aksi “Mat Rempit’ yang berbahaya dan mencabar, berputik dalam jiwa remaja rasa ingin cuba. Remaja akan cuba dan merasai sendiri pengalaman tersebut. Selain itu, gelaran ‘Mat Rempit’ seolah-olah memberi pengiktirafan kepada remaja akan kejantanan atau kelelakian, kehebatan , kejaguhan mereka. Mereka akan lebih diminati oleh ramai gadis dan mudah mendapat sokongan daripada rakan-rakan . Hal ini menyebabkam ramai remaja seakan-akan ketagih dengan aksi merempit ini.
Faktor kewangan (ganjaran) juga menjadi salah satu faktor aktiviti ini diminati oleh golongan muda(remaja). Perlumbaan haram ini melibatkan aktiviti perjudian, wang pertaruhan kadang-kadang mencecah angka beribu-ribu ringgit. Kadang-kadang bukan ganjaran wang yang dikejar tetapi gadis bohsia yang dijadikan pertaruhan kepada pemenang perlumbaan. Pemenang berpeluang menikmati hubungan seks secara percuma. Godaan ini memang menjadi tarikan yang tidak mampu ditolak oleh remaja kerana berpeluang mengadakan hubungan seks dengan gadis bohsia dapat menjawab seribu satu persoalan yang menghantui mereka tentang seks. Kepuasan nafsu ini menjadi daya pendorong kepada golongan remaja dalam aktiviti merempit.
Masalah Mat Rempit ini ibarat barah yang tumbuh dalam badan kita. Barah ini mampu melemahkan dan menjejaskan kualiti modal insan yang ingin dilahirkan oleh negara. Golongan Mat Rempit ini perlu disekat daripada terus membiarkan mereka menjadikan jalan raya sebagai platform yang menunjukkan kehebatan dan kejaguhan mereka dalam perlumbaan. Antara jalan penyelesaiannya adalah menguatkuasakan undang-undang. Kerajaan perlu mengendalikan (menggubal) undang-undang dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap golongan Mat Rempit yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Hukuman seperti sebatan dan penjara boleh dilaksanakan untuk memberi pengajaran kepada orang lain (remaja lain) agar tidak terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral ini. Selain itu, penonton yang menyaksikan perlumbaan dan aksi Mat Rempit ini turut perlu ditangkap dan dikenakan hukuman kerana memberi sokongan kepada Mat Rempit. Hal ini adalah kerana sokongan dan tepukan serta sorakan penonton inilah yang menaikkan semangat dan ego Mat Rempit.
Selain itu, kerajaan atau pihak swasta boleh mewujudkan sebuah litar lumba yang sesuai dan selamat seperti di Sepang untuk golongan muda. Kewujudan litar perlumbaan ini boleh digunakan oleh golongan Mat Rempit ini dengan mengenakan bayaran yang lebih murah supaya golongan ini boleh menunjukkan bakat terpendam mereka tanpa membahayakan penggunaan jalan raya yang lain. Aktiviti perlumbaan boleh dianjurkan untuk menarik penyertaan Mat Rempit daripada membiarkan mereka menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan. Sukan permotoran yang sememangnya berpotensi menaikkan nama negara di persada dunia harus diketengahkan agar golongan Mat Rempit ini berpeluang menunjukkan bakat mereka dalam sukan permotoran seperti Perlumbaan Grand Prix Petronas, Motocross Malaysia dan lain-lain.
Perlumabaan haram yang dijalankan oleh golongan Mat Rempit ini memberi impak yang besar kepada individu, masyarakat dan negara. Aktiviti ini bukan sahaja mengundang maut malah membantutkan usaha kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti yang mampu memberi sumbangan kepada negara pada masa depan. Malang tidak berbau. Oleh itu, isu Mat Rempit tidak harus dipandang ringan oleh sesiapapun. Masalah ini masalah kita semua. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu untuk mengatasi masalah ini daripada terus merebak kerana golongan remaja merupakan bakal pemimpin yang akan menerajui negara pada masa akan datang.
Disediakan oleh: Rajesvari
No.matrik: 205953
No comments:
Post a Comment