Pada era globalisasi ini, negara kita telah maju dengan pesat dalam setiap bidang. Walaupun negara kita maju tetapi berlaku juga perbuatan-perbuatan yang tidak sihat disebabkan oleh sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab. Perbuatan tidak sihat yang dimaksudkan adalah vandalisme. Perbuatan vandalisme dapat didefinisikan sebagai suatu perbuatan melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan dan mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Kelakuan ini biasanya diasiosiasikan remaja yang terletak pada aspek emosi. Vandalisme biasanya dianggap sebagai satu cara untuk melepaskan rasa geram ataupun satu cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun motif mereka begitu ringan, tetapi masyarakat awam yang terpaksa menanggung kerugian besar atas perbuatan mereka yang hanya sekadar memenuhi nafsu hina mereka.
Di samping itu, terdapat beberapa faktor berlakunya perbuatan vandalisme. Antaranya, perbuatan ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa dan keluarga. Sesetengah ibu bapa menjadi pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Contohnya, terdapat sesetengah ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti limau,langsat dan rambutan ketika memandu. Mereka juga tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan. Seterusnya, sesetengah remaja yang berasal daripada keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif akan melibatkan diri dalam perbuatan vandalisme. Hal ini kerana, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa. Oleh sebab terdapat pelbagai masalah dalam keluarga, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk mengambil berat tentang kehidupan anak-anak mereka. Dengan ini, perhubungan di antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi renggang. Jadi, anak-anak akan meluahkan perasaan mereka dengan membuat perbuatan vandalisme.
Faktor lain yang mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini adalah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja pada zaman yang serba moden ini, biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan besar. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila mereka berkumpul dan pelbagai idea akan timbul termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya. Selain itu, faktor lain pula adalah pengaruh media massa yang juga mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan pada masa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perbuatan vandalisme boleh mempengaruhi remaja untuk melakukannya. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut perbuatan dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya daripada ibu bapa.
Oleh itu, bagi mengurangkan penularan gejala vandalisme, kerajaan boleh mengambil beberapa tindakan. Kerajaan boleh ketatkan lagi undang-undang yang sedia ada. Pihak kerajaan perlu mengenakan hukuman denda terhadap mereka yang membuat perbuatan vandalisme.Tambahan pula, kerajaan juga boleh mengadakan kempen kesedaran untuk mengurangkan gejala negatif ini.
Di samping itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting bagi mengurangkan perbuatan vandalisme.Ibu bapa haruslah memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka tentang kepentingan harta benda awam. Ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak tentang kepentingan menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung, anak-anak akan mengikut nasihat mereka itu, maka sudah tentu masalah vandalisme dapat dikurangkan. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak bosan dan berasa keseorangan. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah kealam dewasa.
Langkah seterusnya yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah vandalisme adalah melalui peranan pihak sekolah. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta benda awam. Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Pihak sekolah boleh menerangkan kepada pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai pelajar untuk menjaga harta benda sekolah. Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap tanggungjawab.
Seterusnya, peranan media massa juga sangat penting untuk membendung masalah ini. Selain sebagai bahan hiburan dan sumber maklumat, media massa juga seharusnya mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Media massa memainkan peranan kuat dari segi menyemai kesedaran dan menyampaikan maklumat tentang vandalisme dalam apa jua bentuk rancangan yang disiar dalam media massa. Media massa juga berperanan untuk membantu pihak kerajaan seperti mengadakan kempen supaya masyarakat dapat memahami dan menghayati kempen dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat mencapai matlamatnya.
Tidak ketinggalan juga, setiap anggota masyarakat negara ini patut bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan vandalisme dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan memberikan kefahaman kepada remaja betapa buruknya perbuatan vandalisme ini.
Akhir kata, kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk menjaga keamanan negara. Olet itu, semua pihak haruslah berganding bahu untuk membanteras perbuatan vandalisme ini.
DISEDIAKAN OLEH: PAVITRA
NO. MATRIK: 205971
No comments:
Post a Comment