Sunday, September 19, 2010

Pengkid


Sebab-sebab Berlakunya Masalah Pengkid
Pengkid adalah bahasa slanga di Negara kita Malaysia yang membawa makna seorang wanita yang berpenampilan seperti lelaki dengan berambut pendek, agak kasar kelakuannya. Dalam erti kata yang lebih mudah, mereka adalah kumpulan wanita yang ingin menjadi lelaki, tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah dilahirkan sebagai wanita. Mereka berasa malu hanya kerana memikirkan mereka adalah wanita. Mereka mengenepikan segala ciri-ciri kewanitaan dan sanggup mengikat payu dara mereka agar badan mereka kelihatan leper seperti lelaki yang tulen. Apakah punca berlakunya masalah ini sehingga mereka sanggup menghadapi sebarang halangan dan kepayahan untuk menjadi seorang ‘lelaki’.
Setelah membuat kajian, didapati punca berlaku masalah ini dapat dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu diri sendiri, keluarga atau masyarakat dan akhir sekali ialah Negara.

Diri sendiriPada peringkat ini, didapati bahawa seorang pengkid menghadapi masalah kekeliruan mengenai jantina mereka. Mereka menolak fitrah mereka sebagai wanita. Mereka berasa kewujudan mereka sebagai wanita adalah satu kesilapan yang besar dan mereka tidak yakin pada diri sendiri. Mereka menganggap diri mereka adalah seorang lelaki walaupun berjantina wanita.
Dalam kekeliruan itu, mereka mula memakai pakaian lelaki demi menunjukkan ‘kelelakian’ mereka. Hal ini hanya akan berlaku jika dan hanya jika mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama. Golongan pengkid bertindak berdasarkan nafsu. Mereka mengutamakan kepuasan nafsu mereka berbanding tuntutan dan perintah agama. Sebagai contoh meereka sanggup membelakangkan agama dan menanggung kesakitan iaitu mengikat payu dara dengan ketat agar dapat mencari ‘teman wanita’. Mereka juga sanggup mencuri wang daripada keluarga untuk diberikan kepada ‘teman wanita’ sebagai lambang percintaan mereka. Mereka melakukan semua ini hanya untuk memuaskan nafsu mereka. Walaupun mereka mempunyai akal tetapi akal mereka dikawal oleh nafsu. Oleh itu, mereka sanggup melakukan sebarang perkara untuk memuaskan nafsu kerana akal mereka telah dikuasai nafsu.
Natijahnya, golongan manusia yang terkeliru dengan jantina, tidak mempunyai golongan manusia yang berkemungkinan menjadi pengkid.


Keluarga atau masyarakat
Dalam konteks keluarga pula, merupakan antara faktor penyumbang berlakunya gejala ini. Ini kerana terdapat keluarga yang berpendapatan rendah akan membelikan anak perempuannya baju kanak-kanak lelaki. Ini kerana baju kanak-kanak lelaki lebih murah berbanding baju perempuan. Apabila anak itu dididik seperti seorang lelaki sejak kecil lagi, inilah yang mengakibatkan  kekeliruan jantina kerana mereka telah selesa menjadi seorang ‘lelaki’ berbanding wanita. Mereka juga hilang sifat-sifat kewanitaan sejak kecil lagi.
Selain daripada itu, terdapat juga jenis keluarga yang mengharapkan anak mereka adalah lelaki. Mereka membeli permainan, pakaian dan segala barang keperluan untuk bayi lelaki. Apabila bayi yang lahir itu bayi perempuan, mereka tetap menggunakan barangan yang telah disediakan itu. Secara tidak langsung mereka telah mendidik anak perempuan mereka untuk menjadi seorang lelaki.
Masyarakat pula mengakibatkan masalah ini semakin sukar untuk dibendung. Manusia merupakan makhluk yang lemah dan saling memerlukan antara satu sama lain untuk hidup dengan selesa. Ini bermakna manusia perlu hidup dalam komuniti tersendiri. Dalam hal ini, masalah pengkid ini hanya timbul apabila segolongan pengkid di dalam satu masyarakat. Ini kerana jika seorang pengkid keluar mencari pasangan untuk memuaskan nafsunya, tetapi tiada seorang yang sanggup melayannya, lama-kelamaan dia akan berasa bosan, terpencil, dan mungkin dia akan kembali kepada fitrah.
Tetapi jika terdapat walau seorang yang melayannya,maka dia akan menjadi lebih berani melakukan pelbagai perkara yang lain. Selain daripada itu, dia akan menjadi satu contoh yang tidak baik kepada pengkid lain yang selama ini hanya memendamkan perasaannya di dalam hati. Pengkid yang lain akan mula menunjukkan perasaan sebenar mereka kerana telah berjumpa dengan golongan yang sama dan mengetahui kepada siapa nafsu mereka boleh disalurkan.
Dengan itu, mereka memperoleh pengalaman keseronokan. Pengalaman yang menyenorokkan ini telah membuatkan akal mereka menjadi buta kepada perkara yang hak dan batil. Ditambah dengan sikap masyarakat yang mengamalkan ‘enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’, mereka akan terus hanyut dan hidup bergelumang dengan dosa selagi mereka tidak kembali kepada jalan yang betul. Mereka berasa aman kerana walaupun perbuatan mereka akan menarik perhatian orang ramai tetapi tidak pernah ditegur. Mereka bermaharajarela untuk melakukan apa-apa sahaja kerana masyarakat hanya mementingkan dirinya sahaja.

NegaraNegara juga menjadi punca yang menyumbang kepada masalah ini. Di Negara ini, bahan-bahan lucah amat mudah untuk didapati sehingga pelajar sekolah juga boleh membelinya dengan harga yang murah. Hal ini merupakan sebab utama kepada segala masalah sosial di Malaysia. Pengkid yang menonton filem lucah akan teransang dan secara tidak langsung terdesak mencari pasangan untuk melepaskan nafsu mereka.
Ditambah dengan internet, dunia tanpa sempadan menjadikan lebih mudah untuk mendapatkan bahan lucah. Ketidakmampuan kerajaan untuk menyekat laman web lucah daripada dilayari juga menjadi sebab kepada masalah sosial. Mereka hanya perlu menaip beberapa perkataan, kemudian dapat menonton filem-filem lucah.
Kesimpulannya, sekiranya mereka mempunyai pengetahuan agama yang mendalam, menerima asuhan keluarga dengan baik, tidak terkeliru dengan jantina, mempunyai jati diri yang kuat, tidak terpengaruh dengan rakan lain dan persekitaran serta sentiasa menggunakan akal untuk berfikir, maka masalah pengkid tidak akan berlaku di Negara ini. Selain itu, ibu bapa dan kerajaan perlu berusaha untuk membendung masalah sosial ini supaya remaja-remaja memilih jalan yang betul yang akan membawa masa depan yang cerah.

DISEDIAKAN OLEH: AU HUI YEE
NO. MATRIK : 206141

No comments:

Post a Comment