PUNCA-PUNCA KEJADIAN PEMBUANGAN BAYI
Malaysia merupakan sebuah negara yang menuju ke arah alaf baru berlandaskan sains dan teknologi. Namun begitu, masalah sosial di negara ini semakin berleluasa. Sejak kebelakangan ini, terdapat laporan pembuangan bayi di tepi longkang, di dalam tandas dan lain-lain tempat. Mereka sanggup melakukan perbuatan kejam itu untuk menyembunyikan kesalahan yang dilakukan dan berharap dapat menjalani kehidupan baru.Sehubungan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mercoakkan sahsiah anak-anak mereka. Masalah pembuangan bayi ini pasti dapat ditangkis sekiranya wujud kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk mengambil tahu serta cuba membanterasnya demi mewujudkan masyarakat yang bersifat penyayang.
Punca utama memang melibatkan pengaruh budaya asing liar. Akibat kemajuan media massa dan kecanggihan telekomunikasi, rakyat kita terdedah kepada pengaruh dunia luar. Antaranya termasuklah mengadakan hubungan seks rambn, homoseksual, berkesedudukan tanpa nikah dan sebagainya. Akibatnya mereka yang tiada pegangan agama yang kental mudah terhanyut dalam arus kedurjanaan. Kes-kes hamil luar nikah akan berlaku. Demi nama baik keluarga dan kepentingan diri sendiri, ada yang terpaksa membuang anak. Selain itu, mereka juga akan mencari klinik-klinik yang berdekatan untuk menggugurkan anak mereka yang masih di dalam kandungan.
Keruntuhan institusi kekeluargaan juga mencetuskan masalah sosial ini. Keluarga yang kucar-kacir, mengabaikan anak, tiada didikan agama yang secukupnya, serta ibu bapa yang bersikap materialistik dan individualistik akan menyebabkan anak mereka kehilangan pedoman hidup. Ibu bapa senantiasa menganggapkan dengan memberi wang yang secukupnya kepada anak mereka bererti menjalankan peranan sebagai ibu bapa yang memberi kasih sayang. Natijahnya, anak-anak mereka akan bosan dan kesepian di rumah. Ini mendorong mereka mencari teman di luar untuk mengubati kekosongan jiwa mereka. Kegagalan mengawal nafsu menyebabkan kemungkinan anak luar nikah dilahirkan. Dalam kebuntuan,pasangan yang berkenaan mungkin tergamak membuang bayi mereka.
Perubahan sosial yang drastik dan kurangnya kawalan sosial turut memburukkan keadaan. Kini para remaja yang bekerja di luar hidup bebas tanpa kawalan. Ini termasuklah kaum wanita yang menyewa bilik di kota-kota besar. Mereka bebas bertindak di luar, bercinta dan mencari pasangan hidup. Masyarakat seolah-olah menerima hakikat ini tanpa bantahan. Jadi apa-apa sahaja boleh termasuklah hubungan seks. Apabila anak luar nikah dilahirkan, bayi yang tidak berdosa mungkin dibuang atau digugurkan demi menutup keterlanjuran mereka.
Suami dan teman lelaki yang tidak bertanggungjwab juga menyebabkan kes ini berlaku. Biasanya lelaki yang tidak bertanggungjawab akan berlepas tangan apabila teman wanita atau isterinya hamil. Mereka hanya mengambil kesempatan memenuhi nafsu. Wanita yang menjadi mangsa akhirnya akan ditinggalkan lelaki. Rasa benci kepada lelaki yang tidak berhati perut terbawa-bawa kepada anaknya. Jadi ibu berkenaan mungkin sanggup menggugurkan mahupun membunuh anaknya.
Penguatkuasaan undang-undang yang longgar juga gagal menyekat kegiatan maksiat. Setakat ini hanya wujud enakmen pentadbiran undang-undang Islam yang membendung gejala khalwat dan zina. Bagi rakyat bukan Muslim, langsung tiada undang-undang yang menyekat pasangan berkesedudukan atau berkhalwat. Natijahnya, kegiatan maksiat sukar untuk dibendung. Hukuman yang kurang berat juga menggalakkan kes-kes pembuangan bayi ini. Ibu bapa mangsa bayi yang dibuang tidak dikesan bersungguh-sungguh sehingga masalah penjagaan bayi diserapkan bulat-bulat kepada pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hukuman yang dikenakan hanya penjara dan denda yang mampu dilaksanakan oleh pesalah.
Selain itu sikap masyarakat yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh, dan mengabaikan isu itu turut menjadi punca gejala ini menjadi-jadi. Mereka bersikap demikian kerana menganggap isu ini adalah sesuatu yang memalukan. Sesetengah masyarakat memandang kotor orang yang melakukan dosa seperti zina, pembuangan anak dan sebagainya. Mereka yang terjerumus ini menganggap diri mereka tidak diterima ahli masyarakat lagi.
Kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit social ini tidak menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.
Disediakan oleh : Komalah Rajah
No.matrik: 206653
No comments:
Post a Comment