Pembangunan yang semakin pesat di negara kita terutamanya dalam sektor pembinaan memerlukan tenaga kerja yang banyak untuk menjayakan pelbagai projek perumahan. Namun, bilangan tenaga kerja masih tidak mencukupi jika hanya bergantung pada pekerja di negara kita. Oleh itu, buruh asing amat diperlukan untuk memastikan projek raksasa dijalankan dengan lancar. Lantas, banyak pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara kita. Perkataan PATI merujuk kepada seseorang yang masuk ke negara ini tanpa permit yang sah, mereka datang melalui cara yang sah pada asalnya tetapi apabila mereka dalam keadaan terdesak seperti sukar mendapat permit kerja, maka mereka memilih masuk ke negara lain secara haram. Terdapat pelbagai kesan ekoran daripada kedatangan PATI dan kehadiran mereka perlu diawasi dan dibendung demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara kita.
Kedatangan PATI akan menimbulkan banyak masalah sosial kepada masyarakat. Kebanyakan PATI khususnya golongan wanita akan melibatkan diri dalam kegiatan pelacuran untuk mengaut keuntungan dalam masa yang singkat. Perkara ini bukan sahaja menyebabkan keruntuhan akhlak malah turut menyebabkan penyakit seksual berleluasa. Di samping itu, PATI juga meningkatkan kadar jenayah. Kebanyakan mereka terlibat diri dalam pencurian, penyeludupan dadah dan perompakan. Malahan sesetengah daripada mereka merupakan penjenayah yang melarikan diri ke negara kita untuk mengelak daripada serbuan polis, tetapi mereka terus melakukan jenayah di sini. Mereka bukan sahaja merompak harta benda rakyat tempatan, malah turut meragut nyawa yang tidak berdosa. Perbuatan mereka telah mencetus kebimbangan dalam kalangan rakyat dan tindakan tegas perlu diambil untuk menjamin keselamatan rakyat kita.
Selain itu, kebanjiran kedatangan PATI secara besar-besaran juga menutup peluang pekerjaan tempatan. Kebanyakan majikan terutamanya dalam sektor pembuatan dan pembinaan lebih menjurus kepada pengambilan pekerja asing disebabkan bayaran gaji lebih rendah jika dibandingkan dengan pekerja tempatan. Lagipun pekerja asing lebih sanggup dan rela membuat kerja yang memenatkan, ini dapat dibuktikan dalam sektor pembinaan yang dimonopoli oleh buruh asing. Tidak dapat dinafikan dalam keadaan sedemikian, peluang pekerjaan rakyat kita akan terjejas. Pekerja tempatan terpaksa bersaing dengan PATI yang sanggup menerima upah yang murah. Dengan itu, kadar pengangguran negara kita meningkat disebabkan kebanyakan peluang pekerjaan telah digantikan oleh pekerja asing yang lebih menguntungkan majikan.
Kedatangan pendatang asing juga menyebabkan meningkatnya pembinaan rumah setinggan.
Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram di sempadan bandar. Kawasan perumahan sedemikian tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik. Justeru, banyak masalah pencemaran timbul akibat daripada ketidaksempurnaan sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Penyakit juga mudah dijangkiti dalam kawasan setinggan yang sempit dan kotor. Imej negara kita turut terjejas disebabkan landskap rumah-rumah setinggan yang tidak teratur. Keadaan ini menggambarkan negara kita masih dalam situasi mundur dan lemah dari segi pengagihan ekonomi dan pentadbiran kerajaan.
Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk mengurangkan kehadiran PATI dan cara yang paling efektif adalah melalui penguatkuasaan undang-undang. Pihak berkuasa perlu sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan PATI, tidak dinafikan orang pengantaraan ini telah menerima rasuah yang diberikan oleh PATI. Mereka yang didapati bersalah patut dijatuhi hukuman yang berat dan PATI yang diberkas perlu dihantar balik ke negara asal dengan serta-merta. Tindakan undang-undang yang tegas juga wajar dikenakan ke atas PATI supaya mereka tidak cenderung untuk kembali semula ke negara ini. Dengan itu, jumlah PATI dapat dikurangkan disebabkan ketiadaan bantuan orang perantaraan.
Pengawasan kawasan sempadan juga perlu diperketatkan untuk mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing terutamanya dalam kawasan perairan di mana situlah jalan utama kemasukan pendatang asing. Pelbagai pihak seperti polis marin, pihak imigresen dan tentera laut hendaklah berganding bahu dan bertindak secara bersepadu. Pihak berkuasa perlu giat meronda dan mengesan ke atas tempat-tempat kemasukan PATI. Pihak berkenaan turut perlu sentiasa berusaha dalam cara untuk mencegah penyusupan PATI. Rakyat tempatan juga diserukan melaporkan sebarang maklumat tentang kedatangan pendatang asing dan kegiatan yang mereka terlibat. Operasi mengurangkan kehadiran PATI akan berkesan dengan kerjasama semua pihak.
Kesimpulannya, negara kita memerlukan tenaga asing untuk memajukan negara kita demi mencapai wawasan 2020 sebagai negara maju. Namun, tenaga-tenaga asing ini perlu memiliki visa dan permit kerja yang sah. Jika kedatangan pendatang asing tidak dikawalkan, pastinya akan membawa kesan negatif kepada masyarakat. Jadi, semua pihak perlu bersatu padu dalam isu menangani masalah pendatang asing tanpa izin.
DISEDIAKAN OLEH: LEE SHU TING
NO MATRIK: 206654
No comments:
Post a Comment